Pages

Translate

Monday, September 17, 2012

Buang fikiran negatif hadapi PMR


Pakar motivasi, Dr. Ismail Zain menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar pada Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dengan kerjasama Utusan Malaysia di SMK Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Tinggal lebih kurang 20 hari Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan calon diingatkan supaya tidak berfikiran negatif seperti peperiksaan ialah satu bentuk penderaan, atau membandingkan diri dengan rakan-rakan yang lebih pandai secara yang boleh 'memusnahkan' diri sendiri.
Pakar motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain menasihati peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Utusan Malaysia dan Sekretariat Malaysia Prihatin di Ketereh, Kelantan supaya membuang sindrom melabel diri sendiri sebagai bodoh, lemah, malas, tidak pandai dan sebagainya mulai sekarang.
''Tiada istilah bodoh atau pandai bagi seseorang kerana semua orang ada potensi untuk berjaya dalam kehidupan,'' katanya.
Lebih 150 pelajar daripada 10 buah sekolah di Ketereh mengikuti program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas, baru-baru ini.
Beliau juga kurang bersetuju bila ada yang melabel waktu peperiksaan sebagai musim 'demam' kerana konotasi negatif yang dibawa oleh frasa berkenaan.
''Bila kita rasa tertekan atau suka merendahkan diri, jiwa dan motivasi kita akan menjadi rendah, sedangkan bila kita rasa seronok maka jiwa, minda dan otak kita menjadi segar,'' ujarnya.
Dalam usaha mencorakkan pemikiran yang positif, maka dalam tempoh lebih kurang 20 hari ini, calon perlu mengatasi segala dugaan seperti perasan malas, ponteng, sebaliknya berusaha menjadi pelajar yang bestari.
Menurut Ismail, pelajar bestari dan pelajar pandai adalah berbeza.
"Pelajar yang gagal bukan pelajar yang bodoh," tegasnya.
Manakala pelajar bestari pula, katanya, akan berusaha untuk menghadirkan diri dalam program-program pembangunan diri yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, tanpa terlalu memikirkan mereka telah pandai atau belum.
''Tanam satu pemikiran, kalau menghadirkan diri dengan program-program bimbingan seperti ini, maka kita akan dapat memperbaiki markah, walaupun mungkin lima markah sahaja,'' katanya.
Antara sekolah yang menghantar pelajar ialah SMK Kok Lanas, SMK Cengal, SMK Melor, SMK Pangkal Kalong, SMK Ketereh, SMK Kadok dan SMK Long Gafar.
Program itu disulam dengan teknik menjawab soalan beberapa mata pelajaran utama, serta pameran selain suntikan motivasi.
Lebih sepuluh buah sekolah di seluruh Malaysia telah mengadakan program yang semakin popular itu.

No comments:

Post a Comment