Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

274 pelajar sekolah menengah uji ketahanan diri


KUANTAN 3 Okt. - Seramai 274 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara mengikuti Karnival Pendidikan Luar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah di sini yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.
Urus Setia karnival tersebut, Norzaini Azlina Zainuddin berkata, setiap negeri akan memilih para pelajar sekolah terbabit untuk menghadiri program itu dengan menyertai pelbagai aktiviti lasak sebagai medan mencabar minda, emosi dan fizikal.
Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan adalah ikhtiar hidup, kembara, paintball, berbasikal, lawatan ke Sungai Lembing dan aktiviti air yang menguji ketahanan diri para peserta.
"Remaja yang berusia 16 tahun sangat gemar dengan aktiviti mencabar, menguji kesabaran dan kecekalan mereka dalam membentuk personaliti masing-masing.
"Sepanjang program itu, mereka diberi peluang menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam aktiviti yang dipertandingkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, program berkenaan bermatlamat memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam mengikuti aktiviti pendidikan luar secara terancang.
Jelasnya, ia bermanfaat kepada peserta untuk memperoleh kemahiran baru selain menimba pengalaman baru melakukan aktiviti berkenaan di negeri ini.
"Program tersebut secara tidak langsung akan melatih dan memupuk nilai murni para peserta sepanjang aktiviti serta pertandingan yang dijalankan di sini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121004/pe_03/274-pelajar-sekolah-menengah-uji-ketahanan-diri#ixzz28lIJIU3d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment