Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Iltizam pecutan akhir hadapi peperiksaan SPM


PARA peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) bersama Utusan Malaysia begitu teruja dengan suntikan semangat saat akhir menjelang 34 hari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan rata-rata bersetuju ia mampu menyegarkan semula iltizam masing-masing untuk menggapai kejayaan cemerlang.
Program dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
Pelajar SMK Seri Nibong, Fairuza Nur Syahira Md Idris berkata program itu sangat bermanfaat dan telah menyuntik semangat kepadanya menjel Anak pesara Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang bercita-cita menjadi doktor itu akan memegang kata-kata Dr. Ismail Zain - penceramah Motivasi Utusan Malaysia - bahawa dalam masa 34 hari ini, pelbagai perkara boleh berlaku dan calon masih boleh melakukan perubahan dalam diri masing-masing.
Berbekalkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Fairuza yakin mampu mencatat keputusan cemerlang pada SPM nanti.
Rakannya, Umi Raihanah Che Muhamad Nor, bersyukur kerana diberi peluang mengikuti program berkenaan, dan pesan Dr. Ismail bahawa semua orang perlu ada matlamat dalam hidup, membakar semangatnya untuk mengejar cita-citanya.
Muhamad Najwan Hamidi, pelajar Sains Tulen berkata program itu banyak manfaatnya dan tidak membosankan.
Antara inti pati yang menjadi pegangan motivasi kepadanya ialah tiada pelajar yang pandai dan tiada pelajar yang bodoh.
"Kata-kata Dr. Ismail itu akan menjadikan saya lebih bestari, iaitu bestari ketika belajar dan dalam hidup,'' kata anak pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Muhamad Safwan Mohamad Fakharurazi, peserta dari SMK Jawi memberitahu, program itu menarik perhatiannya kerana kini dia boleh berfikir di luar kotak yang sempit.
"Setiap kali menghadiri program seperti ini, akan menjana pemikiran saya untuk memikirkan perkara- perkara baharu,'' katanya.
Pelajar yang bercita-cita menjadi jurutera bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu memuji cara Dr. Ismail menyampaikan ceramahnya yang tidak mengantuk dan mudah difahami.
Nur Syahirah Mohd Fisol juga mengakui suntikan semangat Dr. Ismail banyak memberi suntikan semangat kepadanya pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan.
Kata anak seorang peguam itu, masih belum terlewat untuk menambah baik kekurangan diri dalam tempoh sebulan ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_02/Iltizam-pecutan-akhir-hadapi-peperiksaan-SPM#ixzz28lFIE2kf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment