Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Murid, guru sertai bengkel tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris


SEBAHAGIAN peserta bengkel Membaca Tambahan melibatkan 30 murid dan 10 guru bersama Natalie Hommerton (duduk tengah) bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, di Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 25 Sept. - Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menganjurkan bengkel Membaca Tambahan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid di negeri itu.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Noor Salwara Khairullah berkata, bengkel itu merupakan kerjasama antara Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D); Osaka Gas Foundation for International Cultural Exchange (OGFICE) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Katanya, bengkel bermula semalam sehingga Khamis ini membabitkan 10 guru dan 30 murid dari seluruh negeri ini.
“Bengkel Membaca Tambahan ini dianjurkan sejak 2004 dan sebanyak 40 sekolah di seluruh Sarawak mengambil bahagian.
“Ini merupakan inisiatif kementerian dan badan korporat dalam meningkatkan sistem pendidikan negara agar seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Antara sekolah yang terlibat dalam bengkel itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Binyo; SK Rumah Barrau; SK Entayan; SK Sageng dan SK Tangjung Apong.
Beberapa pengisian lain turut diadakan antaranya sesi motivasi bersama angkasawan negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, melawat Pustaka Negeri dan persembahan drama.
Sementara itu, Pengurus Besar, Operasi dan Kewangan UP&D, Rozita Yusoff berkata, pihaknya bertanggungjawab menjemput ahli panel dari luar negara memberi taklimat kepada guru dan murid-murid.
“Kita membawa seorang guru berpengalaman dari United Kingdom, Natalie Hommerton bagi menunjukkan kaedah betul mengajar dan belajar subjek Bahasa Inggeris.
“Guru tersebut mengendalikan bengkel menggunakan buku cerita bahasa Inggeris yang mana kaedah itu turut digunakan di sekolah-sekolah di London," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120926/pe_01/Murid-guru-sertai-bengkel-tingkatkan-penguasaan-bahasa-Inggeris#ixzz28lFrkE7s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment