Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Pendekatan kreatif cetus minat


Guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd. Isa menggunakan pendekatan inovatif dan kreatif untuk mengajar teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dalam Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.



PELBAGAI kaedah penyampaian inovatif dan kreatif oleh para penceramah profesional menjadikan Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin dan Utusan Malaysia berada dalam kelasnya tersendiri - selain tidak membosankan.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal dekat Kota Bharu, Kelantan, penceramah subjek kertas Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd Isa menselangselikan penyampaiannya dengan lawak jenaka, persembahan multimedia dan paling istimewa, secara spontan menyanyikan lagu ciptaan asal Freddie Aguilar iaitu 'Anak' secara minus one.
Marzuki, dengan pakaian kasual santai, memakai reben hitam, berseluar jeans dan kemeja merah, membuka lantai dengan pantun, perumpamaan, pepatah yang menarik sehingga sesi sebelah petang menjadi hidup dan berkesan.
Sebagai guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki menurunkan segala ilmu tentang persiapan yang sewajarnya ada pada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menduduki kertas Bahasa Malaysia dan seterusnya mendapat A+.
Antaranya, beliau mencadangkan calon menjawab Bahagian B yang memberi 100 markah berbanding bahagian A yang berupa karangan berdasarkan bahan rangsangan.
Beliau mengupas secara terperinci semua aspek penting dalam kertas Bahasa Malaysia, dan sebahagiannya perlu dihafal supaya calon tidak membuang masa sepanjang 90 minit nanti.
Program kali ini dihadiri oleh 200 calon SPM daripada sembilan buah sekolah iaitu SMK Cengal, SMU (A) Al-Kauthar, SMK Kadok, SMK Long Ghaffar, SMK Pangkal Kalong, SMK (A) Melor, SMK Kok Lanas, SMK Ketereh dan SMK Melor.
Sekretariat Malaysia Prihatin merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang aktif menjalankan aktiviti kesukarelawanan, khususnya dalam kalangan pendidikan.
Lebih 30,000 pelajar sekolah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu.
Sementara itu, penyelaras program yang juga penceramah motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain menasihati pelajar agar terus berusaha tanpa jemu dan dalam masa yang sama meminta ibu dan bapa mendoakan kejayaan menjelang peperiksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121008/pe_01/Pendekatan-kreatif-cetus-minat#ixzz28lEm9Sh2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment