Pages

Translate

Sunday, July 1, 2018

Misi Maszlee sebagai menteri pendidikan

Wartawan Malaysiakini  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini
    WAWANCARA | Tidak melihatnya sebagai masalah yang perlu diselesaikan, Menteri Pendidikan baru Maszlee Malik percaya dengan kaedah memanfaatkan kekuatan sistem pendidikan sedia ada yang berbeza-beza.
Walaupun terlalu hijau dalam politik - bekas ahli akademik itu menyertai BERSATU hanya tiga bulan lalu - Maszlee yakin mampu menjaga sistem sekarang dan pada masa sama mengembangkan kaedah bagaimana sekolah yang pelbagai jenis dapat berkerjasama ke arah kebaikan.
Dalam wawancara pertamanya sejak dinamakan untuk portfolio itu Jumaat lalu, Maszlee menjelaskan rancangannya untuk "menghubungkan" aliran sekolah yang berlainan serta kaedah rundingan dalam aspek tadbir urus.
"Saya di sini bukan untuk memaksakan peraturan atau regimentasi terhadap sekolah.
"Apa saja aliran sekolah yang kita ada, visi saya adalah untuk cuba menghubungkan antara satu sama lain.
"Kita ingin meraikan perbezaan yang ada, jadikannya sebagai kekuatan bukan kelemahan, dan jadikannya faktor penyatuan bukan perpecahan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di rumahnya.
Selain sekolah kebangsaan di mana bahasa Melayu menjadi medium pengajaran, sistem pendidikan Malaysia turut terdiri daripada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, pendidikan di rumah (homeschool) serta pelbagai sekolah antarabangsa dan swasta.
Berbanding memansuhkan sekolah vernakular seperti yang dicadangkan sesetengah pihak, Maszlee yakin cara yang lebih baik untuk memupuk semangat muhibah dan kesatuan adalah dengan mewujudkan kerjasama antara sekolah berbeza aliran.

"Misalnya, saya ingin melihat sekolah agama dan sekolah Cina mengadakan program bersama; sekolah Tamil menyertai acara sekolah mubaligh, sekolah antarabangsa berkerjasama dengan sekolah Orang Asal," katanya.

Beliau juga membangkitkan pewujudan masyarakat yang fasih banyak bahasa tetapi tidak menjelaskan sebarang kaedah secara spesifik.

"Salah satu kekuatan Malaysia adalah kita hidup dalam masyarakat pelbagai bahasa. Kita perlu raikannya dan gunakan sebagai kekuatan dan menyemai budaya masyarakat pelbagai bahasa.
"Untuk melakukannya, kita perlu jadikan pembelajaran bahasa sesuatu yang menyeronokkan," katanya lagi.

Maszlee yang berdarah Melayu-Cina menghantar anak-anaknya ke sekolah jenis kebangsaan Cina.

Pengajian Islam yang lebih moderat

Maszlee yang juga ilmuwan Islam mahu mereformasikan pengajian Islam di negara ini, bermula di sekolah Tahfiz.

"Kita perlu mengubahsuai wacana Islam arus perdana yang diamalkan umat Islam di Malaysia, kita perlu membawa unsur yang lebih moderat dan progresif.
"Kita akan cuba memastikan pelajar, bukan sahaja di tahfiz tetapi di semua sekolah, akan belajar untuk saling hormat-menghormati tanpa mengira kaum dan agama," katanya lagi.

Sebelum menyertai BERSATU, Maszlee merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIA di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau mendapat ijazah sarjana muda dari Universiti al-Bayt, Jordan dalam bidang fiqh dan usul fiqh, sebelum menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya untuk bidang yang sama.
Pada 2011, beliau mendapat ijazah kedoktoran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham, United Kingdom.

Beliau pernah terlibat dalam badan seperti institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS), Penang Institute dan menjadi felo di Institute of Southeast Asian Studies (Iseas) University of Singapore.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata sesetengah mata pelajaran, seperti Bahasa Malaysia dan Sejarah, akan diseragamkan untuk sekolah tahfiz, dan lepasan sekolah itu akan ditawarkan kursus dalam lapangan vokasional dan semivokasional agar mereka bersedia memasuki alam pekerjaan.
Soal pengawalan dan keselamatan di sekolah tahfiz - soal yang menjadi tumpuan seluruh negara selepas tragedi kebakaran di sebuah sekolah dan kematian seorang murid di sebuah lagi tahfiz akibat didera guru - juga akan diberi tumpuan.

"Infrastruktur sekolah tahfiz perlukan pengawalan, itu sudah ada...tetapi kita perlu penguatkuasaan.
"Penguatkuasaan sepatutnya bukan saja oleh Kementerian Pendidikan tetapi semua agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya lagi.

Sumber : Malaysia Kini

KENALI MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA DR.MASZLEE MALIK

Alhamdulillah, aku rasa ramai rakyat Malaysia gembira dengan berita perlantikan Dr.Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia yang Baru. So, apa kata kita berkenalan dengan beliau.
Dr. Maszlee Malik dilahirkan di Johor Bahru. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (STAR) (2) dan kemudiannya ke Maktab Sultan Abu Bakar (English College).
 
Pada tahun 1989, beliau telah menyertai Madrasah al-Quran Waddin dan kemudiannya ke Maahad Johor. Setelah itu permusafiran ilmunya dilanjutkan ke Jordan sehingga berjaya mendapatkan ijazah sarjana muda dari Universiti Al al- Bayt, Jordan dan kemudiannya meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya.
Kedua- duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Dengan izin Allah, Maszlee Malik telah melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham pada tahun 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance pada tahun 2011.
Kini Maszlee Malik merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah berkhidmat di sana semenjak tahun 2000.
Maszlee Malik juga merupakan ahli Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID), ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan penasihat ahli lembaga kepada beberapa NGO dan badan pendidikan seperti Teaching for the Needs (TFTN), Pusat Pendidikan Downsyndrome Orkids (ORKIDS), Pertubuhan Darul Fitrah, IDEAS Autism Centre, Lembaga Pusat Pendidikan al-Amin dan juga penaung kepada Kelab Penyokong Kelab Bola Sepak Manchester City Malaysia.

Di media pula, Maszlee lebih dikenali sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah, pemikiran politik Islam dan juga gerakan Islam kontemporari.

“sistem pendidikan kita tidak menjadikan kita manusia yang manusiawi..” Dr.Maszlee Malik
Antara inti pati perbualan antara Astro Awani dengan Menteri Pendidikan yang baru YBhg Dr. Maszlee Malik

1. Konsep kemanusiaan dipentingkan
2. Membangunkan potensi anak-anak
3. Mengwujudkan sekolah wawasan dengan pelbagai potensi utama, dalam masa yang sama masih dalam kumpulan
4. Beban guru dikurangkan. Tugas guru sebagai pendidik diutamakan bukan lagi dalam masa yang sama jadi kerani dan lain-lain lagi.
5. Kuantiti pelajar dalam kelas dikecilkan
6. Tidak mengajar ranking dan gred sahaja
7. Bukan exam orientad
8. Beri kuasa autonomi pada guru sebab dalam diri guru memang ada jiwa untuk membantu anak-anak kita
9. Akan pastikan tak ada lagi tugas guru dan pelajar untuk memeriahkan event yang ada menteri
10. Bantuan dari luar perlu untuk membantu anak-anak kita dalam kondisi yang lebih baik
11. Hubungan erat antara masyarakat dengan sekolah amat penting. Nanti akan ada survey tentang kedatangan ibubapa dalam meeting sekolah contoh permuafakatan.
12. Mesti munculkan kepercayaan antara ibubapa dengan guru, dan guru dengan ibubapa
13. Mesti wujudkan anak-anak akan berlari ke sekolah dan guru-guru juga suka anak-anak datang ke sekolah

Menteri Pendidikan Malaysia 2018