Pages

Translate

Tuesday, November 22, 2011

Dapat perhatian Nasib murid balang gas

KULIM 22 Nov. - Nasib 'murid balang gas', Mohamad Zulhilmi Marzuki, 12, yang kini menghadapi masalah apabila mesin pembekal oksigen yang digunakannya rosak, mendapat perhatian apabila beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan.
Hari ini, Penyelaras Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Kulim/Bandar Baharu, M. Thuraisingam tampil menghulurkan sumbangan berjumlah RM1,000.
Selain itu, pemilik Pasar Mini Weng Seng Kulim, Tan Khim Pheng, 49, turut menyampaikan bantuan RM1,000 untuk membiayai kos rawatan Mohamad Zulhilmi.
Bapa murid itu, Marzuki @ Yahaya Hashim, 51, berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang menyatakan hasrat untuk membantu anak tunggalnya itu.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang membantu. Saya amat menghargai sikap prihatin yang ditunjukkan rakyat negara ini bagi membantu Mohamad Zulhimi," katanya di sini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Mohamad Zulhilmi yang kini berdepan dengan satu lagi cabaran apabila mesin pembekal oksigen yang digunakannya sejak tujuh tahun lalu rosak.
Ibunya, Norizan Yeop, 44, berkata, mesin Oxy Concentrator itu tidak dapat berfungsi seperti biasa, malah pihak pembekal turut memaklumkan ia tidak boleh diperbaiki.
Suri rumah itu memberitahu, mesin terbabit digunakan untuk membekalkan oksigen semasa anaknya tidur setiap malam sejak 2004.
Marzuki yang bertugas sebagai buruh am Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulim/Bandar Baharu memberitahu, dia tidak mampu membeli mesin pembekal oksigen baru memandangkan pendapatannya hanya sekitar RM1,000 sebulan.
"Hampir separuh daripada duit gaji digunakan untuk kos rawatan susulan anak," jelasnya.
Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang, Lunas yang memperoleh 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini menghidap simptom jangkitan paru-paru kronik Bronchiolitis Obliterans sejak berusia empat tahun.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Hong Leong Bank bernombor 05950086588 (atas nama Norizan Yeop) atau menghubungi Marzuki di talian 012-4857609.

No comments:

Post a Comment