Pages

Translate

Tuesday, November 22, 2011

Di semua IPT akan ada Kedai Rakyat 1M

KUALA LUMPUR 22 Nov – Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini akan menikmati kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha ini akan diteruskan ke seluruh IPT bagi memastikan pelajar turut mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
“Kita sedia maklum pelajar juga menghadapi perbelanjaan yang tinggi dan tidak terkecuali daripada menanggung kos sara hidup yang membebankan.
“Justeru, adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk meneruskan usaha membantu rakyat termasuk penuntut universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan penuntut di IPT yang meminta kerajaan menimbang mewujudkan KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia di setiap kampus universiti.
Cadangan tersebut terkandung dalam kertas kerja Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Beliau berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan pihak universiti, termasuk Naib Canselor untuk melaksanakan cadangan itu dengan segera.
“Kita akan bekerjasama dengan koperasi dan kafe di IPT untuk meletakkan produk-produk KR1M dan memperkenalkan menu rakyat tersebut.
“Ini bagi memastikan pelajar turut mendapat manfaat daripada usaha yang dilaksanakan kerajaan iaitu mendahulukan rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment