Pages

Translate

Wednesday, December 14, 2011

Gaya Hidup: Ekstival KUIS dedah pengalaman berniaga

  • Foto
    Mohamad Naim (empat dari kiri) melayan pelanggan yang hadir digerainya.
  • Foto
    Pelajar KUIS sibuk melayan para pelanggan yang hadir ke gerai masing-masing.
KEHIDUPAN di kampus menawarkan 1,001 peluang menimba pengalaman bagi pelajar yang bijak memanfaatkannya terutama apabila pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) kini banyak membuka peluang dan kepercayaan kepada mahasiswa untuk terbabit dalam penganjuran programnya. 

Contohnya, Ekspo dan Festival (Ekstival) sempena konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) baru-baru ini meriah dengan penyertaan pelajar yang turut membuka gerai jualan.


Selain menjual makanan dan minuman, pelajar IPT itu turut menawarkan pelbagai barangan termasuk buku, majalah, permainan, alat tulis, aksesori wanita dan pakaian.
Penyertaan penuntut dalam program itu saluran berkesan bagi membudayakan keusahawanan serta sikap berani mengambil risiko apabila melaburkan sejumlah wang sebagai modal untuk menjayakan perniagaan yang berlangsung selama tiga hari saja.

Persatuan Mahasiswa Akademi Islam antara kumpulan pelajar yang tidak ketinggalan memanfaatkan peluang itu dengan menjual makanan, aksesori wanita serta alat tulis.

Ketua Lajnah (Unit) Ekonominya, Mohamad Naim Zahari, 20, berkata kira-kira 15 ahli persatuan itu bekerjasama membuat persediaan membuka gerai jualan berkenaan seminggu sebelum Ekstival berlangsung.

Katanya, setelah tiga hari berniaga, mereka berjaya mendapatkan kembali modal dilaburkan berserta sedikit keuntungan, namun, pengalaman dan kemahiran dibangunkan menerusi penyertaan dalam Ekstival itu dianggap lebih berharga. 
“Kami membahagikan tugasan mendapatkan barangan daripada pembekal, membangunkan gerai di tapak ekspo serta membeli buah menggunakan modal sendiri. 

“Seronok apabila mendapat pendedahan pengalaman berniaga menerusi program IPT seumpama ini dan yang mencabar pastinya apabila rakan-rakan meminta diskaun tetapi kami tetap berpegang kepada prinsip perniagaan, tiada keistimewaan diberi kepada kenalan, harga ditawarkan sama dengan pengunjung lain,” katanya.

Sementara itu, Kelab Perakaunan KUIS juga membuka gerai jualan yang menawarkan pelbagai buku ilmiah serta majalah lama untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pengunjung.

Ahli kelab itu, Norhisham Suman, 20, berkata mereka memilih buku sebagai barangan jualan bagi membolehkan pengunjung mendapat kepelbagaian pilihan berbanding kebanyakan pelajar lain yang memilih penjualan barangan makanan, pakaian dan perhiasan.

Katanya, kelebihan mempunyai ahli kelab yang mempunyai bapa peniaga buku memudahkan mereka mendapatkan bekalan barangan itu.

“Kami memilih buku terbitan Telaga Biru bagi menarik pengunjung dan dengan niat menawarkan mereka peluang menambah pengetahuan bermanfaat selain mencipta kelainan berbanding peniaga lain.

“Selain buku, kami turut menjual barangan permainan termasuk Dam Angry Bird yang mendapat sambutan hangat. Kami bukan saja dapat menambah duit poket dengan berniaga sempena program IPT ini tetapi turut memanfaatkan pengetahuan dipelajari dalam bidang kami termasuk penyediaan penyata untung rugi serta pengiraan nisbah keuntungan,” katanya.

Walaupun tidak membuka gerai sendiri, pelajar program Komunikasi, Saidatun Najah Khairul Anuar, 19, menjadi pembantu jualan di gerai peniaga luar bagi menambah duit kocek selain meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Upah diberi agak lumayan iaitu RM5 sejam dan pada masa sama membolehkan saya meningkatkan kemahiran berkomunikasi apabila membantu pelanggan memilih pakaian dan beg ditawarkan di gerai ini.

“Pengalaman seumpama ini memberi saya keyakinan dan menyuntik minat membuka perniagaan pakaian sendiri pada masa depan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment