Pages

Translate

Thursday, December 1, 2011

Gaya Hidup: Aktiviti melancong membuka minda

SITI AMALINA (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama rakan ketika melawat Bandung, Indonesia.­
SITI AMALINA (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama rakan ketika melawat Bandung, Indonesia.­
MEMILIH untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan dalam kalangan pelajar pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) adalah aktiviti biasa yang akan dijalankan oleh golongan itu setiap kali cuti semester.

Jika dulu, ia dilihat sebagai aktiviti mewah namun kenyataan itu barang kali tidak benar sama sekali ketika ini kerana sesiapa pun kini mampu untuk menjalankan aktiviti itu.

Dengan adanya promosi beberapa agensi pelancongan dan tawaran harga tiket terendah, ia menggalakkan lagi keinginan individu untuk melancong.
Pada masa kini, golongan pelajar IPT dilihat sering mengambil peluang untuk melancong bersama rakan-rakan. Mungkin faktor kesibukan keluarga dan cuti semester yang jatuh bukan pada cuti sekolah mendorong mereka lebih gemar melancong bersama rakan-rakan.

Bagi Siti Amalina Mohd Yazid, 23, menyifatkan aktiviti melancong bersama rakan-rakan adalah satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sehingga bila-bila.

Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, kepercayaan yang diberikan oleh keluarga dan perbelanjaan yang mencukupi sudah memadai untuknya pergi bercuti bersama rakan-rakan tidak kira dalam kumpulan besar atau kecil.

“Saya bertuah kerana mempunyai keluarga yang begitu menyokong dan ‘sporting’ dengan permintaan saya. Walaupun bukan semua dapat ditunaikan secara terbuka tetapi mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk bergerak sendiri bersama rakan-rakan.
“Kepercayaan keluarga untuk melepaskan anak mereka adalah satu perkara yang susah untuk dilakukan tetapi saya bersyukur mempunyai keluarga yang cukup memahami,” katanya.

Menurut anak kelahiran Melaka ini, peluang bercuti bersama rakan-rakan dilihat sebagai kebebasan untuk bergerak ke mana-mana namun ia masih ada batas agar tidak terjebak dengan perkara yang tidak diingini.

“Apabila berada di tempat orang, kita perlu lebih berhati-hati dari segi pertuturan dan adab. Ia juga mengajar kita untuk menghormati budaya hidup masing-masing.

“Selain itu, mencuba makanan di negara lain adalah saat paling disukai ketika bercuti terutama ke luar negara. Semua ini menjadi saat manis yang tidak dapat dilupakan apatah lagi menghabiskan masa bersama rakan-rakan baik,’’ katanya.

Beliau yang berkesempatan melawat hampir 10 negara, menyifatkan melancong pada usia muda akan membantu seseorang itu bersikap lebih terbuka.

“Apabila bergerak sendiri atau bersama rakan-rakan semuanya harus dilakukan sendiri atau erti kata lain, berdikari. Ia banyak membantu seseorang itu dalam kehidupan seharian mereka.

“Dari segi pengetahuan pula, kita dapat melihat pembangunan negara luar dan boleh digunakan di negara kita. Sebagai pelajar jurusan pelancongan, peluang untuk bercuti atau melancong ke luar negara adalah satu bonus dan peluang paling berharga untuk dibawa pulang ke tanah air,” katanya yang pernah melancong ke Bandung, Indonesia, Jepun, India, China dan Switzerland.

Pendapat itu dipersetujui oleh rakannya Farah Nadia Mohd Arshad, 23, yang juga menjadikan melancong sebagai aktiviti pilihan ketika cuti semester.

Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau memilih melancong sebagai aktiviti kegemaran yang dilakukan ketika cuti semester bukan saja untuk suka-suka tetapi dapat menimba pengetahuan mengenai sejarah dan tempat menarik di negara lain.

“Saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang begitu memahami. Jika saya mempunyai peluang untuk melancong tidak kira berseorangan atau lawatan universiti, mereka tidak menghalang sebaliknya, memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya.

“Sebagai pelajar, sudah tentu saya tidak mempunyai wang yang mencukupi. Oleh itu saya membuat perancangan awal seperti menyimpan wang untuk tempoh tertentu sebelum bercuti ke destinasi yang ditetapkan,” katanya yang pernah melawat ke Bandung, New Zealand, Qatar, Singapura dan Kemboja bersama keluarga serta rakan-rakan.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media itu turut memberitahu bukan semua kehadiran beliau ke luar negara adalah untuk bercuti semata-mata sebaliknya diberi kepercayaan oleh pihak universiti melalui program mobiliti penyelidikan ke luar negara.

“Tanggungjawab yang diberikan oleh pihak universiti amat dihargai dan kesempatan ini memberi peluang untuk saya melihat negara orang sambil menjalankan tugas yang diberikan iaitu membuat kajian mengenai pembangunan sukan di University Of Loughborough, United Kingdom (UK).

“Bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Sambil belajar, saya juga dapat berjalan-jalan ke negara orang yang pastinya mempunyai keunikan tersendiri,” katanya yang juga berkesempatan melawat Berlin dan Ireland ketika menjalani program mobiliti penyelidikan ke luar negara tahun lalu.

Farah Nadia berkata, pengalaman berada di tempat orang adalah tidak sama seperti menonton televisyen atau melawat laman web mengenai sesuatu tempat.

No comments:

Post a Comment