Pages

Translate

Wednesday, December 14, 2011

Sukan: Sepak takraw kembali popular di IPT

GAMBAR atas, KERIS yang menggabungkan petugas akhbar, majalah, radio, TV dan laman web sekitar Lembah Klang, memeriahkan
Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-KPT Ketiga di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, baru-baru ini. Gambar bawah, DAUD (dua dari kanan) menyerahkan Piala Sumbangsih Milo-Keris kepada wakil
pasukan UTHM.
GAMBAR atas, KERIS yang menggabungkan petugas akhbar, majalah, radio, TV dan laman web sekitar Lembah Klang, memeriahkan Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-KPT Ketiga di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, baru-baru ini. Gambar bawah, DAUD (dua dari kanan) menyerahkan Piala Sumbangsih Milo-Keris kepada wakil pasukan UTHM.
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, baru-baru ini membabitkan lima kategori iaitu Terbuka, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bawah 15 dan 18 tahun serta Wanita.

UiTM dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut mengadakan pertandingan sepak takraw membabitkan Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (KERIS) dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan itu.


Selepas empat jam mengharungi pertarungan format liga sepusingan, ‘jaguh’ dalam kalangan media akhirnya terjawab dan habuan juara RM1,000 menjadi milik regu Utusan-Astro yang diwakili Mohd Shuib Ab Latip, Muhamad Hairul Kusdi dan Alisaifuddin Kamis.
Mantap di ketiga-tiga posisi tekong, pelibas dan pengumpan, mereka kekal tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan sambil mengumpul lapan mata dengan mengatasi RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto 2-0.

Gandingan eksekutif akaun Utusan Airtime Sdn Bhd, juruteknik Jabatan Pengeluaran Utusan dan penyelia Astro itu menewaskan RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto masing-masing dengan 2-0 (16-14, 15-12); (15-13, 15-7); (15-9, 15-13) dan (15-5, 15-10).

Naib juara yang menawarkan hadiah tunai RM750 dimenangi RTM-Filem Negara yang diwakili Azmi Khamis, Manja Bah Lunggok dan Muhammad Haffizul Ibrahim, sementara tempat ketiga dengan nilai hadiah RM500 diraih MDAG-RTM menerusi Daud Abdullah, Mohamad Naquib Idris dan Wan Mohd Noraffandi Wan Mohd Ghazali.

Blogger bolarotan.com, Mohsen Amdan yang membentuk regu Percetakan-Bolarotan di samping Akhrun Musa dan Nazizul Najhan Shaarani berada di tangga keempat, diikuti pasukan Media Prima-Moto yang diwakili Rahmad Abu Awang, Maznan Muhd Mapot Muhamad Mahfud dan Mohd Izzuddin Kamaruddin. 
Hadiah karnival empat hari yang bernilai hampir RM15,000 turut ditaja Pallas Rejam itu disampaikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Abdul Rahman Palil. Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Sementara itu, di Batu Pahat, Johor, UTHM menganjurkan pertandingan sepak takraw dengan KERIS pada 12 November yang mempertandingkan Piala Sumbangsih Milo-KERIS yang akhirnya menjadi milik tuan rumah perlawanan persahabatan itu.

UTHM yang memiliki beberapa bekas pemain negeri Johor, menang 3-2 dalam perlawanan format berpasukan (lima regu), sekali gus menebus kekalahan 3-4 mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum ini yang turut menjadi gelanggang sesi latihan mingguan Keris.

Penolong Pengurus pasukan KERIS, Daud Abdullah, berkata lebih banyak pertandingan sepak takraw perlu dianjurkan bagi memastikan sukan tradisi itu tidak tenggelam di tengah-tengah kemunculan pelbagai sukan moden yang mengalih tumpuan generasi muda.

“Ramai pemain handalan bertaraf negeri pernah mencipta nama di bandar ini dan diharap kehadiran perlawanan persahabatan UTHM-KERIS dapat membawa kesinambungan itu.

“Namun seperti sukan lain yang sudah glamor, sepak takraw juga memerlukan suntikan penajaan, justeru ucapan terima kasih tidak lupa diucapkan kepada Milo selaku penaja hadiah dan cenderamata perlawanan ini,” katanya.

Syarikat jenama minuman ringan berkarbonat, Pitaberry dan air minuman hidup pintar bertenaga gelombang, EVPi turut menyumbang tajaan bagi menjayakan pertandingan itu. 

No comments:

Post a Comment