Pages

Translate

Monday, December 12, 2011

Pelajar UniSZA berbakti di Kampung Gong Baru

BAGI membuktikan kecenderungan mahasiswa dalam aktiviti kebajikan, Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu mengadakan program Jalinan Kasih dan Cakna Waris, bertempat di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu, Terengganu, baru- baru ini.
Program bertemakan Generasi Berilmu Warisan Melayu itu berjaya menghimpunkan seramai 38 mahasiswa GPMS UniSZA. 
Pengarah program, Widad Mat Ali berkata, program berkenaan bertujuan menjalinkan perhubungan mesra mahasiswa bersama penduduk kampung selain mendekati dan memahami budaya antara satu sama lain.

Menurutnya, ia juga antara pendedahan mengenai peranan GPMS UniSZA kepada masyarakat terutama pembentukan ilmu dan sahsiah diri.

“Menerusi program ini, mahasiswa dan masyarakat bukan saja dapat mengeratkan kemesraan malah melaksanakan perkongsian ilmu dengan lebih harmoni.

“Ia juga platform kedua-dua pihak mengenali peranan masing-masing dalam membangunkan masyarakat berilmu, berwawasan dan sentiasa optimis dalam perjuangan ilmu, sekali gus membantu membuka minda generasi muda,” katanya.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk program motivasi, gotong- royong dan ziarah kasih yang dilaksanakan serentak tiga kumpulan.

Program motivasi yang dikendalikan kumpulan pertama membabitkan penyertaan kanak-kanak dan remaja berumur 12 hingga 18 tahun bertujuan memberi pendedahan mengenai matlamat dan hala tuju kehidupan.

Kumpulan kedua memberi fokus kepada golongan pertengahan dengan mencurahkan khidmat tenaga dalam aktiviti bergotong-royong pembersihan kawasan kubur sementara kumpulan ketiga pula menziarahi penduduk kampung.

“Ia juga memberi peluang mahasiswa mencurahkan khidmat bakti kepada semua golongan, sekali gus memberi pengalaman baru yang tidak mungkin boleh diperoleh di kampus.

“Diharap peserta bukan saja boleh mengambil iktibar, malah mempraktikkan segala dipelajari sebagai panduan hidup di kalangan masyarakat,” katanya

No comments:

Post a Comment