Pages

Translate

Tuesday, December 13, 2011

Sekitar Kampus: Pameran tingkat kesedaran umat sejagat

  • Foto
    Abdul Elaziz (dua dari kiri) ketika merasmikan Zirkon @ 7 Pameran Seni Visual di Galeri Shah Alam, baru-baru ini.
  • Foto
    Abdul Elaziz (tiga dari kanan) tertarik dengan karya yang dipamerkan.
UNIVERSITI Selangor (UNISEL) mengadakan Pameran Seni Visual, Zirkon@7 di Galeri Shah Alam baru-baru ini, bagi menzahirkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis menerusi lebih 200 karya seni bertema 'Derita Rasa Gaza'.

Pameran hampir sebulan itu menggabungkan hasil seni barisan tenaga pengajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UNISEL serta Fakultas Seni Rupa dan Desain Universitas Trisakti, Jakarta, Indonesia.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Abd Elaziz Abu Ghouse menyempurnakan upacara perasmian pameran itu. Hadir sama, Pemangku Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Anuar Ahmad.
Kotak derma mengajak pengunjung melakukan amalan menderma, manakala kotak derita sentiasa penuh menterjemah rintihan penduduk Palestin yang membuak dan masih belum ada kesudahan. - Ellyna Hashim, Ketua Program Seni Reka Grafik Digital, Unisel
Antara karya menarik perhatian pada pameran itu adalah hasil kreativiti Ketua Program Seni Reka Grafik Digital, Ellyna Hashim, yang meletakkan dua kotak yang dilabelkan Derma Gaza yang hampir kosong sementara satu lagi dinamakan Tabung Derita Gaza yang dipenuhi lebih 1,000 artikel berkaitan penderitaan masyarakat Palestin.

Beliau mengetengahkan dua tabung derma itu sebagai simbolik mempersoalkan sumbangan kepada masyarakat Palestin yang tidak sampai kepada golongan sasarannya kerana disekat rejim Zionis sementara Tabung Derita Gaza terus diisi dengan kisah penderitaan masyarakat negara itu seperti dilaporkan akhbar Jerusalem Post dan Berita Harian.

“Kotak derma mengajak pengunjung melakukan amalan menderma, manakala kotak derita yang sentiasa penuh menterjemah rintihan penduduk Palestin yang membuak dan masih belum ada kesudahan,” katanya ketika ditemui di pameran itu baru-baru ini.

Sementara itu, pensyarah dari Indonesia, Agus Nugroho, menghasilkan lukisan akrilik untuk pameran itu dengan rupa bentuk kebebasan, garis keadilan serta warna ideologi disusun atur dalam ruang keamanan. 
“Penggemblengan tenaga pensyarah Malaysia dan Indonesia bagi menjayakan pameran ini adalah inisiatif yang wajar dipuji kerana ia menggalakkan pertukaran idealisme antara kedua-dua universiti serta pengembangan pendidikan.

“Ia juga memberi peluang kita sebagai bangsa serumpun untuk meluahkan pandangan dan berkongsi rasa terhadap apa yang berlaku di Gaza, Palestin seperti dipaparkan dalam media.

“Karya seni yang diketengahkan menerusi pameran ini diharap membangkitkan kesedaran umat sejagat untuk membantu mereka yang teraniaya di Gaza,” katanya.

Sejajar objektif pameran untuk tujuan amal itu, 50 peratus hasil jualan karya seni menerusi program itu akan disumbangkan kepada rakyat Palestin menerusi badan amal Palestin di negara ini.

No comments:

Post a Comment