Pages

Translate

Thursday, January 26, 2012

Pelajar UNITEN anjur Seminar Pendidikan 1Malaysia

ANTARA barisan panel yang terbabit dalam Seminar Pendidikan 1Malaysia di UNITEN, baru-baru ini.
ANTARA barisan panel yang terbabit dalam Seminar Pendidikan 1Malaysia di UNITEN, baru-baru ini.
KONSEP 1 Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak menerajui negara ini sejak 2009 mungkin hanya berlegar pada slogan saja tanpa penghayatan kukuh dari semua ahli masyarakat khususnya golongan belia.

Dalam usaha mendalami pengertian 1 Malaysia, ramai yang memberi definisi melalui fahaman masing-masing mengenai konsep 1 Malaysia antaranya meletakkan hak sama rata, perpaduan dan sebagainya terjemahan pemahaman tanpa menghayati erti sebenar slogan yang sentiasa dilaungkan itu.

   Menyedari hakikat itu, sekumpulan pelajar tahun pertama yang mengikuti Program Persediaan untuk Pelajar Cemerlang (PPES), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kampus Putrajaya menganjurkan Seminar Pendidikan 1 Malaysia, baru-baru ini.
Bertemakan Persepsi, Kesedaran, dan Penerimaan terhadap Konsep 1 Malaysia, seminar yang dihadiri lebih 200 peserta itu bukan saja dihadiri oleh pelajar UNITEN malah turut mendapat sambutan pelajar dari institut pengajian tinggi awam di sekitar Kuala Lumpur.

Projek yang diusahakan pelajar Pengajian Malaysia itu membabitkan 45 pelajar kursus berkenaan yang berjaya memainkan peranan menganjurkan seminar berkenaan dalam memastikan mahasiswa memahami penerapan konsep 1 Malaysia dengan lebih mendalam.

Seminar yang mendapat sokongan penuh pihak universiti itu menampilkan beberapa ahli panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing selain memberi pendedahan baru kepada mahasiswa terutama mencanai pemikiran secara kritis dan kreatif.

Bersempena dengan program itu, turut diadakan pameran fotografi yang bertemakan Warna Warni 1 Malaysia oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta mengambil peluang mengetengahkan bakat masing-masing.
Ia diikuti dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan diteruskan sesi ucaptama oleh Pakar Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang mengetengahkan perpaduan dalam sistem pendidikan di negara.

Menariknya, seminar ini bukan saja menjemput pembentang dari UNITEN, malah menampilkan jurucakap daripada sektor berkaitan serta beberapa ahli akademik antaranya Timbalan Pengarah Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Profesor Dr Teo Kok Seong yang mengetengahkan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai alat penyatuan pelbagai kaum menerusi forum 1 Malaysia.

Sesi pertama yang berlangsung selama satu jam diteruskan lagi dengan wakil Universiti Putra Malaysia, Dr Sarjit Darshan yang berkongsi mengenai kepentingan setiap kaum untuk saling kenal mengenali sebagai langkah untuk mengukuhkan perpaduan.

Pengarah program Zainal Aiman Zainal Abidin, ketika ditemui berkata Seminar Pendidikan 1 Malaysia dianjurkan bagi memberi penerangan lebih jelas mengenai gagasan 1 Malaysia yang lazimnya dikaitkan dengan perpaduan antara kaum di negara ini.

“Slogan 1 Malaysia sudah sinonim dengan rakyat negara ini tapi ramai yang masih kabur mengenai apakah sebenarnya gagasan 1 Malaysia yang sememangnya perlu difahami oleh masyarakat khususnya mahasiswa.

“Jadi, seminar ini menjadi medan untuk mahasiswa mendapatkan fahaman lebih jelas mengenai gagasan berkenaan menerusi perbincangan dan pendapat yang diutarakan oleh pelbagai tokoh yang berwibawa dalam hal ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment