Pages

Translate

Thursday, January 26, 2012

Pelajar UiTM jayakan program motivasi bersama Orang Asli

PELAJAR UiTM bersama sebahagian murid anak Orang Asli Sekolah Kebangsaan Anak Asli Bukit Cheeding, Banting, Hulu Langat.
PELAJAR UiTM bersama sebahagian murid anak Orang Asli Sekolah Kebangsaan Anak Asli Bukit Cheeding, Banting, Hulu Langat.
MENJAYAKAN program motivasi di perkampungan Orang Asli Bukit Cheeding, Banting, Kuala Langat, Selangor menjadi pengalaman berharga kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Akyda Radzi.

Pelajar Semester Dua jurusan Penyiaran, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media berjaya mendekatkan diri dengan anak etnik pribumi yang selama ini dianggap masih ketinggalan zaman.

  “Pada mulanya saya beranggapan anak Orang Asli tidak seperti kanak-kanak lain, tetapi apabila sudah sampai di Bukit Cheeding dan mengadakan program motivasi ternyata generasi muda itu cepat mesra serta mudah menerima apa juga mesej yang disampaikan,” katanya kepada Varsiti di Shah Alam, baru-baru ini.
Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu membantu menjayakan program gaya hidup sihat meliputi ceramah motivasi iaitu nyanyian, permainan dalam kelas dan sesi menguji minda.

Seramai 25 pelajar UiTM mengambil bahagian dalam program untuk semua kelas dari tahun satu hingga tahun enam. Kehadiran mereka menceriakan suasana sekolah dengan gelak tawa dan sorakan murid.

Bagi Raudah Murad, peluang yang diperoleh sewaktu menjalankan aktiviti bersama anak Orang Asli ialah yang pertama dalam hidupnya.

Sebagai pelajar komunikasi beliau menerapkan ilmu komunikasi yang dipelajari di universiti sebagai satu cara memujuk kanak-kanak memberi maklum balas kepada aktiviti yang dijalankan.
Katanya, anak Orang Asli mempunyai kreativiti yang tinggi, namun bakat mereka perlu diasah dan diberi bimbingan supaya kebolehan dan kesungguhan yang ada dalam diri tidak terbiar serta terhenti begitu saja.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang program itu kanak-kanak berkenaan pada mulanya tampak sungguh pemalu, tetapi jika orang luar memulakannya dan memberi motivasi secara bersungguh-sungguh golongan itu dengan mudah mengikutinya serta akhirnya dapat bersama menjalani kegiatan dengan baik dan penuh semangat.

“Tanpa disedari sebenarnya pelajar universiti kurang berinteraksi dengan etnik Orang Asli dan ia antara punca mereka merasa tersisih serta takut berhadapan dengan masyarakat luar.

“Saya juga mendapati anak Orang Asli ini amat sensitif, oleh itu pendekatan lemah lembut dan penuh berbahasa berjaya memberikan keyakinan kepada mereka untuk bergaul dengan orang luar,” katanya.

Bagi Nurul Syamim Mohd Zubit pula, pergaulan dengan anak Orang Asli memberi keyakinan kepada golongan itu bahawa mereka tidak disisihkan sebaliknya diberi peluang mempelajari perkara baru terutama perkongsian pengalaman belajar di universiti.

Beliau juga berpendapat walaupun negara sudah merdeka anak Orang Asli masih ramai yang kurang pendedahan mengenai kepentingan akademik dan melalui program yang dijalankan mereka mendapati ramai anak etnik itu suka kepada pendekatan baru dalam pembelajaran.

“Etnik ini masih merasa rendah diri, bimbang jika berada jauh daripada kelompok mereka. Ini kerana mereka beranggapan, jika berjumpa dengan golongan bukan Orang Asli, mereka akan dipulaukan dan sukar untuk bersosial.

“Itu adalah antara punca kami kesan, mengapa ramai anak Orang Asli yang tidak mahu meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Ifwath Mohammad Yafith mengakui, beliau tidak mengetahui mengenai masyarakat Orang Asli Temuan sehingga mereka menjalankan aktiviti berkenaan.

Katanya, hasil program yang diadakan mereka dapat menyelami perasaan anak Orang Asli yang kebanyakannya suka kepada hiburan.

Beliau berkata, menerusi program berkenaan mereka mendapati anak etnik berkenaan amat sukar untuk keluar daripada kampung mereka kerana dunia mereka hanya di sekitar sekolah dan perkampungan berkenaan.

“Dalam sesi wawancara dan suai kenal, kami mendapati kanak-kanak itu ada yang bercita-cita menjadi guru, mekanik, jurutera dan polis. Ini menunjukkan mereka mempunyai impian, tetapi kurang mendapat motivasi kerana masalah tersendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment