Pages

Translate

Monday, January 23, 2012

Pen Kampus: MyAgrosis platform lahirkan siswazah tani berjaya

PELBAGAI pendekatan dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan kebolehupayaan siswazah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan muncul sebagai ejen penggerak pembangunan negara.
Usaha terbaru yang dilihat menjadi platform serta strategi berkesan bagi merealisasikan hasrat itu ialah penubuhan Kelab MyAgrosis bagi mendorong minat siswazah menceburi sektor usahawan tani. 
Bidang pertanian di negara ini sangat luas skopnya dan memerlukan sokongan padu tenaga muda bagi menjadikannya kerjaya menarik serta mampu menjanjikan pulangan lumayan.

Usaha mengubah paradigma mahasiswa memerlukan tempoh yang lama kerana ramai mahasiswa menganggap ia pekerjaan yang tidak menjanjikan masa depan dan kurang popular.

Mereka yang seharusnya menjadi penggerak kepada transformasi sektor tani demi meneruskan momentum pembangunan dalam sektor itu dan kewujudan Kelab MyAgrosis seharusnya menjadi titik tolak awal.

Ia perlu diperluaskan ke seluruh IPT agar senario sebenar berkenaan pengurusan dan pengendaliannya dapat diikuti dan dihayati mahasiswa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, dengan jumlah terkini keahlian Kelab MyAgrosis yang mencecah lebih 20, 000 mahasiswa akan mempercepatkan usaha kerajaan merealisasikan pemodenan bidang pertanian sebagai penyumbang sumber ekonomi kepada negara.

Menurut Najib, program menerusi Kelab MyAgrosis juga akan menjadi nadi pengeluaran makanan negara, sekali gus menangani defisit import bahan makanan yang besar berbanding eksport makanan.

Projek perintis seluas 121.4 hektar di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah adalah bukti komitmen kerajaan menjadikan siswazah ‘terpaut hati’ kepada sektor pertanian.

Langkah itu juga mampu menjadikan landskap kampus lebih hijau dengan panorama mendamaikan.

Pihak pengurusan IPT wajar berkongsi minat agar niat dan matlamat murni menjadikan sektor tani suatu lapangan kerjaya diminati mahasiswa.

Dengan tenaga muda yang berpengetahuan tinggi serta penuh daya kreatif, ia mampu menjadikan sektor ini alam pekerjaan berprospek tinggi dan menjanjikan pulangan lumayan.

Kini, bidang pertanian bukan seperti dulu yang dianggap lekeh serta tidak menjanjikan kekayaan, sebaliknya ia mengalami pelbagai perubahan.

Hakikat yang tidak boleh disangkal ini seharusnya menjadi penyuntik kepada mahasiswa untuk merebut peluang disediakan selain mengukuhkan ekonomi negara.

Fama pernah melaporkan kejayaan seorang siswazah lulusan sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Rusila Yusof yang menjadikan sektor pertanian sebagai bidang kerjaya pilihan.

Kesungguhan mengabadikan diri dalam bidang itu dengan mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu memberikan pendapatan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

Justeru, penubuhan Kelab MyAgrosis boleh dianggap tepat selain menjadi pemangkin memacu pemikiran mahasiswa supaya menceburi bidang pertanian.

Bagaimanapun, ia tidak mungkin berjaya jika tidak digembleng dengan baik oleh pihak terbabit dan jangan hanya memfokuskan pada usaha kerja cucuk tanam saja, sebaliknya mempelbagaikan sub bidang berkaitan.

Pihak IPT boleh mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian supaya mahasiswa nampak dengan jelas betapa luasnya skop sektor tani itu.

Seandainya aktiviti Kelab MyAgrosis itu dimodulkan secara terancang dan dilaksanakan dengan penuh sistematik, diyakini ia akan memberi impak besar dalam menjadikan sektor tani rebutan di kalangan mahasiswa.


Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah, Pahang

No comments:

Post a Comment