Pages

Translate

Thursday, January 26, 2012

Temu duga olok-olok bantu mahasiswa baiki kekurangan diri

pix_gal0
PENGANGGURAN dalam kalangan lepasan mahasiswa sering dikaitkan dengan peluang pekerjaan yang sedikit tanpa menyedari kekurangan diri dalam melakukan persiapan menghadapi temu duga sehingga menyebabkan mereka gagal memperoleh pekerjaan.

Sebahagian besar lepasan mahasiswa melakukan kesilapan apabila beranggapan kelulusan akademik semata-mata adalah mencukupi tanpa perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan etika temu duga.

  Ini menyebabkan mereka berasa kurang yakin ketika berhadapan panel penemuduga yang juga bakal majikan sehingga gagal meyakinkan pihak syarikat untuk mengambil mereka bekerja.
Justeru aktiviti temu duga olok-olok yang diadakan dalam Seminar Bimbingan dan Kerjaya di Karnival Taha@U anjuran Lembaga Tabung Haji dan Berita Harian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok, baru-baru ini ternyata memberi pengalaman baru kepada mahasiswa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengikuti program itu.

Karnival Taha@U yang julung kali diadakan di Kelantan disertai 180 mahasiswa dari lima institusi iaitu Politeknik Kota Bharu, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kota Bharu dan mahasiswa dari UMK sendiri.

Hadir sama bagi memberi maklumat dan tips berkaitan persediaan menghadapi temu duga ialah Pengarah Lembaga Tabung Haji (LTH) negeri, Mohd Nasir Mohd Yusoff, Pengarang Berita, Unit Pendidikan Berita Harian, Ridzuan Yop dan serta kakitangan LTH.

Temu duga olok-olok itu cuba mewujudkan suasana sebenar dalam temu duga. Setiap mahasiswa perlu memilih syarikat yang menawarkan pekerjaan dan berjumpa penemuduga di bilik yang dikhaskan mengikut giliran seperti kebanyakan gerak kerja yang biasa diamalkan dalam sesi temu duga.
Pelajar KIST, Mohd Noor Anas Nazaruddin, 19, ternyata teruja dengan pengalaman baru yang dialaminya malah menganggap penyertaannya mengikuti program itu ketika rakan yang lain sedang bercuti sebagai berbaloi kerana banyak ilmu diperolehnya.

"Program ini bukan saja meningkatkan keyakinan diri, tetapi juga dapat menambah ilmu mengenai cara komunikasi, etika berpakaian dan penulisan resume yang sangat penting dalam menentukan kejayaan mendapat pekerjaan nanti," katanya yang menyertai semua temu duga olok-olok itu membabitkan syarikat yang disediakan dalam karnival itu.

Rakannya, Siti Mustafian Maaruf, 18, berkata aktiviti seperti itu adalah yang kedua disertainya kerana berpendapat mahasiswa perlu memahirkan diri mengenai cara menghadapi temu duga yang sering dianggap remeh sedangkan kesilapan gerak tubuh juga boleh menyebabkan mereka tidak diambil bekerja oleh majikan yang menemuramah.

Pelajar tahun akhir UMK, Nur Suhadah Jamaludin, 23, berkata aktiviti temu duga olok-olok ini paling menarik minatnya kerana dapat merasai sendiri pengalaman berhadapan dengan penemuduga dan dapat memperbaiki kesilapan yang dibuat melalui penerangan yang diberikan oleh penemuduga.

Antara aktiviti lain yang diadakan sempena karnival sehari itu ialah ceramah kerjaya dan motivasi, cara penulisan resume, pendaftaran dan pembukaan akaun baru Taha@U, forum santai bertajuk ‘memahami kedudukan graduan baru dari perspektif majikan’ serta ceramah teknologi IBS oleh Pengurus Primeworks Tecnology Solutions, Mohd Izany Yusri.

Sempena karnival itu juga berjaya mendaftarkan sejumlah ahli kelab Taha@U dan sehingga kini mengumpul lebih 10,000 ahli di seluruh Kelantan.

No comments:

Post a Comment