Pages

Translate

Thursday, May 24, 2012

Keciciran pelajar Orang Asli di sekolah menurun

JOSEPH Entulu Belaun (dua dari kanan) bersama dua pelajar Orang Asli, Azzanazatina Teo Chong Yim (kiri) dan Mila Yulianti Yusof melihat buku yang disediakan di bilik bacaan selepas merasmikan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) Rompin, semalam.



ROMPIN 22 Mei - Kadar keciciran pelajar Orang Asli di sekolah di negara ini menunjukkan penurunan iaitu daripada 29 peratus pada tahun lalu kepada 26 peratus bagi tahun ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan amat memandang serius pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya pelajar Orang Asli.
"Justeru fokus utama kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ialah penurunan kadar keciciran terutamanya dari sekolah rendah ke sekolah menengah dengan menyasarkan sehingga 15 peratus pada 2015.
"Bagaimanapun sokongan padu dan kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru amat diperlukan bagi mencapai hasrat tersebut," katanya pada majlis perasmian Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA), di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun.
PIPOA merupakan pusat akademik pertama diwujudkan di negara ini dengan kos sebanyak RM6.3 juta bagi menempatkan pelajar Orang Asli seluruh Pahang yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Menurut Mohd. Shafie, sebanyak RM22.5 juta dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun bagi membantu para pelajar Orang Asli mendapat pendidikan percuma dalam usaha mengurangkan jurang perbezaan dengan masyarakat lain terutama di kawasan bandar.
"Antara bantuan diberikan adalah tambang pengangkutan, yuran sekolah, wang saku serta kemudahan biasiswa bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," jelasnya.
Sementara itu, beliau yakin dapat melahirkan lebih ramai pelajar Orang Asli yang cemerlang terutama di kawasan pedalaman dengan terbinanya PIPOA.
"PIPOA yang beroperasi pada September 2010 akan dijadikan perintis sebelum dibina di negeri-negeri lain," jelasnya.

No comments:

Post a Comment