Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

JAKARTA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata Majlis Peguam tidak berhak langsung untuk menolak cadangan penubuhan Akademi Undang-undang kerana mereka bukan ahli Parlimen yang bercakap mewakili rakyat.

"Majlis Peguam tidak berhak mengatakan tidak dan terpulang kepada kami untuk mengatakan ya dan saya fikir kita perlu mempunyai sebuah akademi undang-undang supaya mereka yang tidak berpersatuan, yang mempunyai latar belakang undang-undang, dapat disatukan di bawah akademi undang-undang," katanya.

Sebagai contoh, katanya pensyarah dan profesor di universiti dalam bidang undang-undang dan penasihat undang-undang di sektor korporat akan dapat berpersatuan dengan adanya Akademi Undang-undang itu nanti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang menolak cadangan kerajaan untuk menubuhkan Akademi Undang-Undang, sebagai alternatif kepada persatuan itu.

Nazri tiba di sini semalam dengan mengetuai delegasi Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia untuk lawatan tiga hari.

"Saya nak bagi tau, saya seorang peguam, tak berbangkit soal saya kata nak menutup Majlis Peguam. Saya punya kenyataan itu bersifat politik. Maknanya tindakan mereka itu memalukan," katanya.

Nazri berkata Majlis Peguam mungkin berasa bahawa rakyat bersetuju dengan tindakan mereka.

"Majlis Peguam perasan. Mereka fikir seluruh rakyat setuju dengan mereka. Apa hak yang mereka ada untuk menolak (penubuhan Akademi Undang-Undang)? Mereka tidak ada kuasa untuk menghentikan kita (kerajaan) menubuhkan akademi," katanya.

Lim dalam kenyataannya kelmarin menyebut bahawa kenyataan Nazri menimbulkan persepsi bahawa cadangan itu dihidupkan semula apabila kerajaan berasa terancam oleh Majlis Peguam yang tidak bersetuju penyalahgunaan kuasa oleh polis pada perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Menteri itu berkata, tidak timbul soal kerajaan berasa terancam hanya dengan resolusi Majlis Peguam yang mengecam tindakan polis ke atas peserta perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

"Kenapa kerajaan perlu berasa terancam? Tidak ada apa-apa ancaman yang dirasakan oleh kerajaan sejak Majlis Peguam ditubuhkan bertahun lamanya. Alhamdulillah kerajaan masih kuat," katanya.

Nazri juga mencabar Majlis Peguam supaya mendaftar pertubuhan itu sebagai parti politik memandangkan fokus badan itu lebih cenderung kepada politik.

Beliau turut mencabar presiden Majlis Peguam supaya bertanding dalam pilihan raya jika mahu mewakili rakyat.

"Saya tawarkan Lim untuk bertanding di Padang Rengas supaya dia boleh bersuara mewakili rakyat," katanya. - Bernama