Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 kepada Datuk Hassan Harun - Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Seramai 24,053 guru yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, mulai 1 Jun hingga 31 Dis ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata kumpulan itu merangkumi seramai 8,222 guru lepasan Ijazah dan 15,831 lepasan Diploma.

"Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.

Beliau berkata selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan minimum kenaikan pangkat secara 'time-based' berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lepas.

Katanya melalui skim itu, bagi guru lepasan Ijazah gred DG41, hanya lapan tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, lapan tahun untuk gred DG44 ke DG48, enam tahun untuk gred DG48 ke DG52 dan hanya tiga tahun untuk gred DG52 ke DG54.-Bernama