Pages

Translate

Wednesday, May 2, 2012

Pelajar asing teruja kehidupan kampung

  • Foto
  • Foto
    PESERATA bermain Tarik Upih bersama penduduk kampung.
  • Foto
    PESERTA merasa pengalaman menikmati makanan tempatan dan mengikuti tradisi Melayu.
  • Foto
    PESERTA PABM mengacau dodol bersama penduduk ketika mengadakan lawatan ke tempat mencanting batik di Hutan Rekreasi Ulu Bendol.
 PESERTA PABM mengacau dodol bersama penduduk ketika mengadakan lawatan ke tempat mencanting batik di Hutan Rekreasi Ulu Bendol.
 PESERTA merasa pengalaman menikmati makanan tempatan dan mengikuti tradisi Melayu.
 PESERATA bermain Tarik Upih bersama penduduk kampung.

SELEPAS seminggu terperap di hotel dan mengikuti pertandingan di Putrajaya, peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) bebas meneroka keunikan budaya serta kehidupan masyarakat luar bandar negara ini menerusi program Inap Desa di Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Seramai 42 daripada 69 peserta PABM yang menyertai program empat hari itu ditempatkan bersama 20 keluarga angkat di lapan kampung Dewan Undangan Negeri Seri Menanti iaitu Kampung Seri Menanti, Kampung Juar, Kampung Buyau, Kampung Merual, Kampung Gunung Pasir, Kampung Sikai, Kampung Pulau dan Kampung Mertang.Jika di pentas pidato mereka segak dan menawan berpakaian tradisional Melayu, di kampung mereka mengenakan kain batik dan pelekat serta menggunakan kelebihan bertutur dalam bahasa Melayu untuk mempelajari dan mengamalkan gaya hidup masyarakat desa.Selain bergaul dan melakukan rutin harian termasuk memasak dengan keluarga angkat, peserta PABM turut diraikan penduduk kampung menerusi acara permainan tradisional dan kenduri kahwin secara olok-olok yang mana pelajar antarabangsa terbabit bergotong-royong bersama masyarakat menganjurkan keraian itu serta berlakon sebagai pengantin.

Sempena program empat hari itu juga, peserta dibawa melawat destinasi menarik sekitar Seri Menanti termasuk Teratak Za’ba, projek ternakan kambing, pasar tani dan projek canting batik. 

Penulis berkesempatan menyaksikan sendiri pelbagai gelagat dan telatah mencuit hati peserta pada hari ketiga program. Antaranya, ketika makan, mereka menghormati amalan duduk bersimpuh dan menawarkan makanan serta minuman kepada warga emas terlebih dulu sebelum mereka sendiri mula menjamu selera.

Peserta juga menunjukkan rasa hormat kepada tuan rumah dengan menyuap nasi menggunakan tangan walaupun ada antara mereka yang terkial-kial kerana tidak biasa dengan cara masyarakat tempatan itu. 
Agak kelakar juga apabila menyaksikan keterujaan pelajar negara maju terutama daripada Korea dan Jepun yang begitu gembira apabila dapat menyentuh serta memberi haiwan makan, contohnya lembu dan kambing yang bebas berlegar di tepi jalan sekitar kampung.

Pelajar Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan; Lee Eun Gyeong, berkata beliau berasa janggal melihat haiwan, contohnya, kambing dan monyet bebas berkeliaran mencari makanan kerana di negara kelahirannya suasana semula jadi seumpama itu sudah sukar ditemui.

Beliau juga sukakan persekitaran hijau yang masih kekal di negara ini walaupun berstatus negara membangun.
“Saya berasa agak lucu melihat kambing bebas berkeliaran dan ia membuatkan saya membayangkan haiwan itu umpama anjing kecil di negara saya. 

“Lawatan ke Teratak Za’ba juga menarik perhatian saya kerana di situ buat pertama kali saya menyaksikan sendiri manuskrip tulisan tangan bahasa Jawi, membuatkan saya berasa tidak sabar untuk mengikuti subjek itu pada semester depan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Universiti La Rochelle, Perancis; Gaelle Joubert, 22, berkata beliau tertarik dengan kepelbagaian makanan masyarakat negara ini terutama kuih dan rendang serta landskap semula jadi kawasan kampung.

Beliau juga teruja dapat menyertai perkahwinan masyarakat Melayu terutama apabila dipilih bagi melakonkan watak pengantin perempuan dan menjalani upacara termasuk malam berinai dan memakai baju pengantin untuk persandingan.

“Sebelum ini , saya sering mendengar pelbagai kisah menarik mengenai Malaysia menerusi ibu saya yang kerap berkunjung ke Malaysia dan Indonesia bagi membeli baju batik untuk dijual semula di Perancis.

“Ternyata apa yang diceritakan ibu saya itu benar belaka dan kini saya sendiri terpesona dengan keindahan budaya masyarakat negara ini dan tidak mustahil berkunjung semula ke negara ini bersama ibu saya pula,” katanya. 

Roman Pogorielor, 23, dari Ukraine pula melahirkan kekaguman terhadap makanan yang pedas dan pakaian masyarakat kampung yang cantik.

“Awalnya saya agak keliru dengan bahasa masyarakat kampung yang banyak berbunyi ‘O’ tetapi kemudian berasa seronok pula mempelajarinya. Saya suka masak ‘lomak cili api’ dan memakai kain pelikat. Malah, saya minta ibu angkat belikan kain pelikat untuk dibawa pulang ke negara saya,” katanya. 

Pelajar Universiti Frankfurt, Jerman; Jan Pallack, 26 pula kagum dengan masyarakat kampung yang tetap utuh dengan nilai dan jati diri tradisional, tetapi tidak ketinggalan dalam arus pesat pembangunan negara.

“Jika dilihat daripada luar saja, rumah masyarakat kampung ini memang nampak primitif, tetapi hakikatnya isi rumah itu moden. Contohnya, bapa angkat saya adalah pesara, tetapi beliau mempunyai sambungan internet tanpa wayar dalam rumah serta mempunyai akaun Facebook yang membolehkannya terus berinteraksi dengan rakan serta dunia luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment