Pelajar UiTM Khalid dibebas jam 3 petang
Khalid Ismath (tengah) memperkatakan sesuatu kepada rakannya yang menunggu pembebasan beliau di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
[TERKINI JAM 5.30 PETANG] KUALA LUMPUR - Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Ismath, 22, yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam, dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, Khalid dilepaskan kira-kira jam 2 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Kita dah selesai jalankan siasatan terhadap dia mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan serta memusnahkan harta benda awam,” katanya.
Khairi berkata, beliau difahamkan bahawa Khalid sudah diambil oleh polis Selangor untuk membantu siasatan berhubung kes lain.
Ketika ditanya sama ada kes itu ada kaitan dengan kenyataan Khalid di laman sosial Facebooknya, yang dikatakan menyokong tindakan supaya semua anggota polis dibunuh, Khairi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak boleh komen tentang perkara itu, lebih baik rujuk dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor untuk pengesahan,” katanya.
Semalam, Khalid yang hadir ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung kenyataan di facebook miliknya, ditahan polis sebelum dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.
Penahanan dibuat kerana Khalid adalah antara 91 individu dikehendaki polis dan disyaki melakukan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis trafik ketika perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, setakat jam 4 petang tadi belum ada penahanan dibuat oleh pihaknya ke atas Khalid.
Sementara itu, Khalid yang memakai baju merah gelap kelihatan keluar dari IPD Dang Wangi dengan ditemani bapa, ahli keluarganya dan rakan mahasiswa lain yang menunggu sejak jam 10.30 pagi.
Sejurus keluar dari pintu IPD itu, seorang lelaki, dipercayai polis tidak beruniform,  dilihat cuba menghalang Khalid, menyebabkan berlaku sedikit kekecohan antara bapa Khalid, Mohd Ismath Habib Mohamad dan lelaki terbabit.
Bapanya menuntut penjelasan sebab anaknya dihalang keluar dari pekarangan IPD.
Khalid tidak bercakap kepada pemberita ketika dibawa keluar oleh dua rakannya dari pekarangan IPD, sebaliknya terus menaiki sebuah kereta yang menunggu di hadapan pintu masuk IPD Dang Wangi.
Setelah Khalid dibawa masuk ke dalam kereta, ia memecut laju ke lokasi yang tidak diketahui.
Mohd Ismath berkata anaknya sepatutnya dibebaskan jam 10 pagi, tetapi hanya keluar dari IPD petang ini.
Sementara itu, peguam Latheefa Koya ketika dihubungi berkata, sepatutnya polis membebaskan Khalid jam 10 pagi tadi.
"Pagi tadi saya masih menunggu penjelasan polis yang tidak membebaskan Khalid jam 10 pagi tadi kerana perintah majistret itu tamat jam 10.45 pagi hari ini," katanya.
Difahamkan penahanan Khalid dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan serta memusnahkan harta benda
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh mengesahkan penahanan tiga individu termasuk Khalid, yang didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis trafik ketika perhimpunan Bersih 3.0.

"Tangkapan dilakukan selepas 42 keping lagi gambar individu yang disyaki terlibat dalam kejadian merusuh di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini, diedarkan semalam.

"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dan sedang menjejaki mereka. Kita harap orang awam dapat terus memberikan kerjasama dan segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan," katanya.
Difahamkan penahanan Khalid dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan serta memusnahkan harta benda awam.