KAMALANATHAN

KLANG - Parti Progresif Rakyat (PPP) dan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan penghuni flat serta apartmen seluruh Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor segera membayar tunggakan air percuma 20 meter padu kepada golongan sasar sebelum Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan.
Pengerusi PPP Bahagian Kota Raja, U Kamalanathan berkata, desakan dibuat memandangkan sehingga kini Kerajaan Negeri dilihat gagal dalam menangani masalah itu hingga bebannya terpaksa ditanggung khususnya oleh penghuni flat dan apartmen serta JMB.
Menurutnya, semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan memberikan air percuma 20 meter padu dengan kos RM11.40 kepada semua rakyat negeri ini terutamanya golongan sasar dan kurang berkemampuan.
"Bagaimanapun, selepas berjaya mengambil alih Selangor, hanya golongan tertentu memperoleh keistimewaan ini dan penghuni flat dan apartmen tidak menikmatinya.
"Apa yang menghairankan, kediaman berharga RM3 juta pula memperoleh keistimewaan ini. Ia dilihat tidak adil," katanya pada sidang media, semalam.
Lebih mendukacitakan, beliau berkata, pihaknya, JMB di apartmen Impian Sentosa, Taman Sentosa, Klang berdepan tunggakan bil air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebanyak RM103,000 termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM180,000.
Katanya, JMB berdepan masalah apabila segelintir penghuni gagal menjelaskan bayaran penyelenggaraan dan disebabkan itu, banyak perkara berkaitan apartmen tidak dapat dilaksanakan dan JMB juga gagal bergerak aktif.
"Justeru, saya minta Kerajaan Negeri bantu kami sebagai JMB melalui kupon yang diperkenalkan. Kami mengutarakan perkara ini kepada pihak berkenaan namun hingga kini tiada maklum balas," dakwanya.
Justeru, pihaknya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Selangor membayar sebanyak RM570 kepada setiap kediaman kerana mereka berjanji untuk membantu golongan sasaran.
"Lebih baik sekiranya dibuat terus kepada JMB supaya bayaran bil tertunggak dapat dijelaskan.
"Selain itu, kami juga minta Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian bersama dalam isu ini supaya semua rakyat menikmati air percuma ini," katanya
Hadir sama, wakil gabungan NGO, Saarah Ali Bashah dan beberapa NGO lain.
Kamalanathan berkata, pihaknya dan NGO terlibat menubuhkan satu gabungan yang dikenali sebagai Air 20.0 meter padu bagi menuntut usaha itu segera dilaksanakan.
Menurutnya, satu memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung perkara itu akan diserahkan dalam masa terdekat.
"Kami mahu Menteri Besar turun ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya tuntutan ini diterimanya secara terus," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tuntutan tersebut, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri tidak akan membayar wang tertunggak kepada pengguna air meter pukal sebaliknya memperuntukkan untuk menukar kepada meter individu.
"Daripada awal lagi kita menggalakkan mereka menggunakan meter individu. Kita tidak akan bagi kerana harga mereka bayar air itu melebihi daripada apa sepatutnya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.