Pages

Translate

Monday, July 23, 2012

Bijaksana manfaat masa


KEHADIRAN Ramadan sebelum musim peperiksaan bagaikan memberi rahmat kepada pelajar kerana mempunyai kelebihan yang boleh direbut bagi memastikan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Malah, mereka yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM sebelum ini seperti Azali Azlan yang mendapat 21A dalam peperiksaan SPM 2007 dan Nik Nur Madihah yang mendapat 20A dalam peperiksaan SPM 2008 menjadikan berpuasa sebagai amalan bagi mencapai kejayaan. 
Antara kelebihan berpuasa yang dapat membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaannya ialah:
Masa untuk belajar lebih panjang 
Umumnya dalam bulan Ramadan ini, pelajar akan bangun lebih awal untuk bersahur.
Waktu belajar yang paling sesuai ialah di awal pagi kerana suasananya lebih tenang dan nyaman, otak lebih cerdas, badan lebih cergas serta tiada gangguan.

Oleh itu, pelajar digalakkan tidur awal dan bangun seawal jam 4 pagi lalu melakukan solat sunat tahajud dan solat sunat hajat.

Sementara menunggu waktu sahur, bolehlah menelaah pelajaran seketika.
Ketika di sekolah, pelajar tidak perlu ke kantin dan waktu rehat itu boleh dimanfaatkan untuk belajar. Waktu persekolahan juga dipendekkan dan pelajar dibenarkan pulang lebih awal dari biasa.

Semua ini memberikan pelajar lebihan masa yang tiada pada hari-hari lain selain daripada bulan Ramadan.

Jika lebihan masa ini diuruskan dan dimanfaatkan dengan baik, pasti ia membawa kelebihan kepada pelajar itu.


Puasa mengurangkan aktiviti yang tidak berfaedah

Jika pelajar bersungguh-sungguh menghayati amalan berpuasa, mereka pasti sedar berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Puasa mendidik hati menahan nafsu daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak, buang masa, berinternet bagi tujuan negatif, menonton televisyen secara berlebihan dan sebagainya.

Syaitan diikat dalam bulan Ramadan. Oleh itu, usah kita pula melayan nafsu melakukan perkara tidak berfaedah.

Apabila aktivti tidak berfaedah dikurangkan, tumpuan boleh diberikan kepada usaha menelaah dan mengulangkaji pelajaran.

Berikan lebih masa bagi mengulangkaji pelajaran dengan memperbanyak latih tubi dan simulasi peperiksaan. Puasa juga memberikan kelebihan kepada fizikal dan mental seseorang dan ini meningkat�kan kemampuan pelajar untuk memahami, mencerap, mengolah dan mengingat setiap apa yang dipelajari.

Di samping belajar, fokus juga kepada membaca al-Quran setiap hari bagi merebut sebanyaknya ganjaran pahala dalam bulan Ramadan ini.


Doa orang berpuasa dimakbulkan

Dalam satu hadis diriwayat�kan Ibn Majah, Nabi s.a.w bersabda, “Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka.” Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi s.a.w bersabda, “Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir”.

Jelasnya, kelebihan orang yang berpuasa iaitu doanya dimakbulkan Allah.

Oleh itu, pelajar mesti menggunakan Ramadan ini sebaik-baiknya berdoa kepada Allah agar ditingkatkan kefahaman, dipermudahkan urusan, diterangkan hati dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Hak pelajar hanyalah berusaha sebaik mungkin, tetapi keputusan sebenar tetap dalam ketentuan Allah. Berdoalah agar apa yang dibaca dan diulang kaji keluar dalam peperiksaan. Juga, berdoalah agar diri mampu melakukan yang terbaik sewaktu dalam dewan peperiksaan.


Rebut peluang malam lailatul qadar

Kita sedia maklum dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam lailatul qadar. Inilah malam yang sentiasa dinanti-nantikan setiap hamba Allah yang beriman.

Ada hadis menjelaskan bahawa malam lailatul qadar ini jatuh pada malam-malam ganjil dalam 10 hari terakhir Ramadan.

Namun, menghidupkan sepertiga malam bermula dari awal Ramadan itu memudahkan usaha kita mencari malam lailatul qadar tersebut.

Oleh itu, sentiasalah bangun malam berqiamullail dan berharap agar bertemu dengan malam yang hebat ini supaya permohonan kita diangkat ke langit dan dimakbulkan Allah.

Dengan izin Allah, pelajar mampu menjadi insan cemerlang dan tiada yang mustahil selagi ada kemahuan dan keyakinan.

Perlu diingat bahawa kedatangan bulan puasa bukanlah bermakna menghentikan semua aktivti yang biasa dilakukan pada bulan biasa.

Belajar perlu dilakukan seperti biasa. Yang berbeza cuma adanya waktu bersahur dan berbuka, adanya solat tarawih dan digalakkan memperbanyakkan membaca al-quran, bersedekah dan berqiamulail.

Semua amalan tambahan ini jika dilakukan dengan ikhlas mampu menyucikan hati dan menjadikannya lebih mudah memahami pelajaran.

Sempena Ramadan ini, MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd akan menganjurkan beberapa Bengkel Susulan Pembelajaran (BSP) kepada pelajar yang pernah mengikuti program Motivasi Alihan Pelajar sebelum ini.

BSP yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu dan BSP kedua di Johor Bahru pada 11 Ogos depan.

Kursus Motivasi Alihan Pelajar pula akan kembali diadakan pada 8 dan 9 September 2012, di Wisma Belia (MAYC), Kuala Lumpur. Istimewanya, jika pendaftaran dibuat dalam bulan Ramadan tawaran diskaun sehingga
lima puluh peratus (50%) diberikan bagi pendaftaran yang kedua.

Seminar dua hari itu terbukti membantu meningkatkan kemahuan anak-anak untuk berubah dan mencapai kejayaan. Dapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian kami iaitu 03-22734622, 05-3134622, 016-5580719 atau 016-5580619. Anda juga dijemput melayari laman web kami di www.laman-map.com.

No comments:

Post a Comment