Pages

Translate

Monday, July 30, 2012

Idea lebih kreatif


KOLEJ Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) menggalakkan ahli akademik memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pendidikan dunia sebenar agar pelajar memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pembelajaran secara langsung (hands-on).
Pelajar juga berpeluang mendapat pendedahan lawatan sambil belajar dan pelbagai aktiviti agar memperoleh pendidikan berkualiti melalui pengalaman. 
Contohnya, pelajar perfileman dan penyiaran di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka berpeluang berinteraksi dengan pihak terbabit dalam industri penyiaran tempatan menerusi perbincangan panel.

Dianjurkan Asian Broadcasting Network, perbincangan bertemakan ‘Mengapa Kandungan Program di Malaysia Sering Terlepas Pandang’ bagi meningkatkan kandungan program tempatan dengan pembabitan bakat muda bertujuan memupuk idea lebih kreatif.

Bagi pelajar, L Mugunthan, 19, peluang diberikan itu perlu dimanfaatkan sewajarnya, sekali gus meningkatkan lagi potensi serta kemahiran diri.

“Saya gembira mendapat peluang berkongsi idea untuk mewujudkan kandungan program yang mencerminkan nilai dan budaya tempatan.

“Ini landasan yang baik bagi memberi keyakinan dan peluang kepada pelajar berkongsi idea baru,” katanya.

Bertemu dengan pihak industri juga memberi peluang kepada pelajar KLMUC menimba pengalaman peribadi dengan pihak profesional industri mengenai cabaran dan kesukaran industri penyiaran.

Pelajar juga mempelajari bagaimana menghasilkan skrip menarik serta mengolah idea untuk program baru.

Bagi Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan, pelajar sentiasa diberi peluang mempelajari secara terperinci setiap aspek bagi menjalankan penubuhan penginapan. Sebagai sebahagian kurikulum program, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dan Restoran turut diberi peluang melawat pelbagai pertubuhan di seluruh negara.

Antaranya, menganjurkan lawatan ke Cyberview Resort & SPA, Cyberjaya, baru-baru ini.

“Di sini, saya dapat melihat dan memahami perbezaan antara pengurusan hotel dan resort.

“Pengetahuan baru ini menambah pengetahuan sedia ada selain menyediakan diri ke arah corak pembelajaran fleksibel,” kata pelajar, Muhammad Salihin Abdul Jalil.

Di KLMUC, lepasan sekolah boleh mencapai masa depan yang cemerlang menerusi ‘Praktis Dunia Sebenar’ yang menjadi prinsip institusi untuk membantu mereka mendapat permulaan awal dalam kerjaya.

Pelajar boleh memilih kursus dari mana-mana fakulti di KLMUC seperti Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Sains Kesihatan, Persekitaran Binaan, Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, Seni Lukis dan Seni Reka, Perniagaan dan Pengurusan serta Hospitaliti dan Pelancongan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi KLMUC di talian bebas tol 1800-88-5568 atau SMS dengan menaip KLMU MAGNNAMANEGERI dan hantarkan ke 36600. Layari laman sesawang KLMUC di www.klmu.edu.my

No comments:

Post a Comment