Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Koperasi SMK (P) St. George diiktiraf Komanwel


Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. George (SMKPSG) Pulau Pinang telah diiktiraf Sekretariat Komanwel apabila berjaya meraih tempat kedua Pertandingan Amalan Baik Koperasi Institusi Pendidikan Negara-Negara Komanwel di Mauritius, baru-baru ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan koperasi sekolah berkenaan dan wajar dijadikan contoh oleh pihak pengurusan sekolah lain.
Menurutnya, kejayaan sekolah terbabit membuktikan pelajar berminat menceburi bidang perniagaan tanpa mengganggu waktu persekolahan.
"Pengurusan koperasi sekolah itu terbukti berkesan apabila berjaya menambahkan keuntungan tahunan mereka daripada RM6,788 pada 2005 kepada RM131,915 tahun lalu," katanya ketika ditemui di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.
Mohd. Ali menambah, selain menguruskan kedai buku dan alat tulis, koperasi sekolah berkenaan turut terlibat dengan perniagaan lain seperti kafeteria, kedai mini, kafe siber, pusat kecergasan, khidmat katering, hotel bajet serta pertanian.
Selain itu, menurut beliau, Angkasa akan menambah peruntukan menguruskan koperasi di sekolah-sekolah seluruh Malaysia kepada RM13 juta pada tahun depan berbanding RM9 juta tahun ini.
Ujarnya, peruntukan itu bertujuan memperkasakan koperasi sekolah agar tidak hanya tertumpu pada penjualan alat tulis dan buku sahaja.
Menurutnya, koperasi sekolah mampu menjadi platform menanam minat generasi muda untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan khususnya peruncitan.
Pada masa yang sama, kata beliau, Angkasa mempunyai pasukan khas bertujuan membimbing koperasi sekolah negara ini bagi melebarkan sayap perniagaan mereka melibatkan pelbagai perniagaan lain.
Sementara itu, Pengetua SMKPSG, Shariffah Afifah Syed Abbas berkata, pada Februari lalu, pihaknya dimaklumkan oleh Sekretariat Komenwel bahawa amalan baik yang dilaksanakan koperasi sekolah itu telah disenarai pendek dalam 20 amalan terbaik di bawah program The School Cooperatives: A Training Ground for Future Entrepreneurs.
Katanya, pada Mei lalu, SMKPSG dipilih ke pertandingan akhir menerusi 10 daripada 123 amalan baik yang disenaraikan dalam peringkat itu.
Beliau serta seorang pelajar tingkatan empat, Sharifah Musaisha Aina Syed Mustafa dijemput membuat pembentangan di Mauritius pada 24 Ogos lalu atas tajaan Angkasa.
"Pada pertandingan itu, SMKPSG berjaya meraih tempat kedua daripada puluhan peserta yang mengambil bahagian," katanya.
Beliau berkata, pelajar yang terlibat kini lebih yakin dan dapat berkomunikasi, kreatif serta berinovatif manakala prestasi koperasi juga bertambah baik dari setahun ke setahun dan keuntungan bertambah daripada lebih RM6,000 pada 2005 kepada lebih RM131,000 pada tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120924/pe_02/Koperasi-SMK-P-St-George-diiktiraf-Komanwel#ixzz28lGiwa00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment