Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

SMK Sultanah Asma rai ulang tahun ke-90


Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma meraikan sambutan ulang tahun ke-90 penubuhannya pada tahun ini dengan mengadakan satu majlis pertemuan semula bekas pelajarnya di Hotel PJ Hilton, Selangor pada 25 November depan.
Menurut Pengerusi untuk majlis sambutan itu, Datuk Rahmah Abdul Hamid, ia lebih kepada perjumpaan di kalangan bekas penuntut untuk mengeratkan semula hubungan.
"Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk mengutip dana bagi tabung kebajikan sekolah melalui jualan meja sempena majlis ulang tahun ke-90 tersebut," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
SMK Sultanah Asma yang pada awalnya dikenali dengan nama Kampong Baharu Girls School (KBGS) kini terletak di Jalan Langgar setelah berpindah dari lokasi asal di Kampung Bahru, Alor Setar, Kedah.
Perpindahan lokasi turut melibatkan perubahan nama dan sekolah baru ini telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 21 Julai 1957.
Mulai 1959, sekolah rendah dan menengah telah diasingkan.
Sementara itu, Presiden Alumni sekolah berkenaan, Nasriah Maghribi berkata, sambutan ulang tahun ke-90 bermula dengan Pameran Sejarah KBGS/ SMK Sultanah Asma pada April lalu dan disusuli dengan aktiviti lain seperti pertandingan menulis esei serta skrip drama berkaitan sekolah tersebut.
"Pertandingan terbuka kepada staf, bekas pelajar dan pelajar sekolah ini," ujarnya.
Beliau menegaskan, dengan adanya aktiviti tersebut, ia mampu menyemai perasaan sayang dan cinta pada sekolah serta guru-guru yang pernah berbakti di sekolah berkenaan.
"Tradisi menganjurkan majlis ulang tahun ini adalah bukti kami sayangkan sekolah dan cara kami mengukuhkan nilai silaturahim di kalangan pelajar dan juga bekas kakitangan sekolah," jelas Nasriah.
Untuk makluman lanjut dan pembelian meja sila hubungi Nasriah di talian 019-3677116.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120924/pe_03/SMK-Sultanah-Asma-rai-ulang-tahun-ke-90#ixzz28lGvvg7j
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment