Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Pencarian Ikon Utusan-UUM bermula


MOHAMED Mustafa Ishak (dua dari kiri) menandatangani plak pelancaran Pencarian Ikon Utusan-Universiti Utara Malaysia sambil diperhatikan oleh Noor Azman Yusuf (kanan) di UUM, Sintok, Kedah, semalam.
KUBANG PASU 4 Okt. - Pencarian Ikon Utusan-Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mengetengahkan pemimpin dalam kalangan mahasiswa di universiti tersebut kini bermula.
Majlis pelancaran program anjuran akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Pusat Penginapan Pelajar (SAC) UUM itu disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak di kampus itu, dekat sini hari ini.
Menurut Mohamed Mustafa, inisiatif akhbar itu mengadakan program tersebut sangat baik kerana dapat memberi peluang kepada penuntut universiti menyerlahkan ketokohan mereka.
"Saya percaya universiti bukan sahaja gedung ilmu tetapi sebagai platform kepada mahasiswa menggilap bakat dan ketokohan mereka termasuk menerusi program Pencarian Ikon Utusan-UUM ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tersebut.
Yang turut hadir, Pengarah SAC, Noor Azman Yusuf.
Menurut Mohamed, beliau berharap, ikon yang bakal dinobatkan kelak mampu menjadi contoh kepada mahasiswa khususnya serta generasi muda amnya.
"Ikon yang dicari tentunya bukan seseorang yang cemerlang dalam akademik semata-mata, tetapi dalam perkara lain termasuk kegiatan persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan sumbangan kepada universiti ini," katanya.
Dalam pada itu, Noor Azman berkata, seramai 10 mahasiswa akan dipilih ke peringkat akhir program itu dalam majlis pada 9 Oktober ini.
"Kita menjangkakan menerima sehingga 100 pencalonan namun hanya 10 calon terbaik akan ke peringkat akhir," katanya.
Menurut beliau, pelbagai hadiah menarik ditawarkan bagi pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu seperti wang tunai, plak dan sijil.
Katanya, peserta yang layak ke peringkat akhir tersebut akan mewakili UUM ke peringkat kebangsaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121005/pe_01/Pencarian-Ikon-Utusan-UUM-bermula#ixzz28lHdxenI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment