Pages

Translate

Monday, February 20, 2012

Minda Pengarang: IPTA, IPTS perlu elak pelajar asing seleweng dokumen

LANGKAH Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pengeluaran visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada pelajar asing di negara ini bagi membendung penyalahgunaan dokumen itu adalah langkah tepat. Sebaliknya visa pelajar akan hanya dikeluarkan selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pelajaran daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Langkah itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan bagi mengelakkan penyalahgunaan visa dan pas pelajar itu. 

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Pengajian Tinggi berbincang dengan Jabatan Imigresen berikutan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah yang berlaku di negara ini yang didapati banyak membabitkan pelajar asing. Kebanyakan mereka juga mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di institusi pengajian tinggi bukan di bawah kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi. Antara kelemahan yang wujud selama ini ialah sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing yang terlalu terbuka dalam pemberian visa pelajar dan pas lawatan sosial, khususnya dari Iran dan Afrika. Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pelajar Antarabangsa bersama Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyaring kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, selain mengambil tindakan ke atas institusi pendidikan dan pelajar antarabangsa yang melanggar undang-undang negara.
Sementara itu, mulai awal tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi dan KDN turut memperkenalkan sistem indikator untuk mengawal kemasukan pelajar palsu dari negara berisiko tinggi dan yang mempunyai rekod jenayah, selain sistem tapisan. Menerusi sistem indikator itu, aspek keselamatan diutamakan bagi pelajar yang didapati tiba dari negara dikenal pasti berisiko tinggi. Bagi menjayakan langkah yang dilaksanakan itu, pihak berkuasa memerlukan kerjasama daripada IPTA dan IPTS bagi menyampaikan maklumat yang diperlukan.

Mana-mana institusi yang enggan bekerjasama atau didapati menyembunyikan ‘pelajar palsu’ seharusnya dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada. Masalah kebanjiran pelajar asing yang terbabit dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah memberi kesan negatif kepada imej Malaysia. Selain itu, warga asing ini turut mengganggu masyarakat tempatan dengan kerenah mereka dan menimbulkan kebimbangan di kalangan mahasiswa di negara ini, terutama pelajar perempuan. Kita berharap pihak berkenaan akan mengambil tindakan tegas bagi membendung masalah yang berkaitan dengan kemasukan pelajar asing ini, dan salah satunya ialah menerusi langkah pengeluaran visa dan pas lawatan sosial yang lebih ketat.

No comments:

Post a Comment