Pages

Translate

Sunday, February 19, 2012

Pakar sejarah berbeza pendapat mengenai penjajahan Tanah Melayu

PAKAR sejarah tempatan, Abdullah Zakaria ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sejarah dan Gerakan Patriotisme Menentang British di Malaysia dalam Seminar Perjuangan Kebangsaan & Patriotisme Dalam Peradaban Malaysia di Universiti Pendidikan Sultan Idris, baru-baru ini, menyanggah pendapat Profesor Dr Zainal Kling yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
Menurutnya, Tanah Melayu dijajah selama ratusan tahun dan sangat ketara di bawah kuasa Gabenor Negeri-Negeri Selat dilantik British sehingga Raja-Raja Melayu tidak memiliki sebarang kuasa mentadbir. 
Persoalan sama ada Malaysia pernah dijajah atau tidak dipolemikkan sejak media utama negara ini menyiarkan pandangan Profesor Dr Zainal bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

Bagaimanapun, Profesor Dr Zainal dalam kertas kerjanya, ‘Status Kemerdekaan
di Malaysia Dalam Konteks Penjajahan dan Naungan’ menjelaskan pegangan sebenar beliau sememangnya ada penjajahan, tetapi 
di tempat tertentu seperti Melaka oleh Portugis, Belanda dan British di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura manakala negeri-negeri lain sebagai naungan.

Percubaan British untuk melaksanakan Malayan Union adalah usaha menjajah seluruh Tanah Melayu seluruhnya, tetapi gagal.

Profesor Emeritus Khoo Kay Kim ketika menyampaikan kertas kerja, ‘Sejarah dan Status Pemerintahan British di Malaysia’ mengingatkan daerah Manjung juga pernah dijajah dan dianggap sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat.

Ketika menjelaskan mengenai perjuangan kemerdekaan, Khoo berkata tidak ada perjuangan kemerdekaan seperti di Indonesia, India atau Burma di Tanah Melayu kerana pemerintahan British di Tanah Melayu adalah berbeza.

Mengenai perayaan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos saban tahun, Profesor Dr Zainal menegaskan ia masih signifikan untuk menghayati erti kemerdekaan terutama memastikan bangsa Melayu yang memiliki tanah ini selama ribuan tahun dikekalkan dan menghargai perjuangan, penderitaan dan kehilangan nyawa orang-orang Melayu menentang Portugis, Belanda, Jepun, komunis mahupun British.

Ia sekali gus untuk menyuburkan patriotisme dalam konteks peradaban Malaysia mencakupi aspek pepintaran dan kebijaksanaan, konsisten, kesinambungan, kesetiakawan dan kesetianegaraan.


* Penulis Timbalan pengarah Bahagian Perancangan Korporat dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

No comments:

Post a Comment