Pages

Translate

Sunday, March 11, 2012

Penyelidik UTM raih 23 emas


UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) mempamerkan keunggulan dalam bidang inovasi dan penyelidikan apabila merangkul 23 pingat emas, 22 perak dan tiga gangsa di Expo Teknologi Malaysia (MTE) 2012, baru-baru ini.
Kejayaan memenangi 23 pingat emas itu menjadikan UTM universiti paling banyak memenangi pingat emas diikuti Universiti Sains Malaysia (USM), lapan dan Universiti Putra Malaysia (UPM), enam emas.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, penyelidik UTM turut memenangi hadiah utama Best of the Best, The Best Award dan Best Biotechnology Award yang dianugerahkan Japan Intellectual Property Association.

“Kemenangan ini mencatat kenangan manis kepada UTM dalam usaha memperkasakan bidang inovasi dan penyelidikan negara setara institusi lain,” katanya.


Anugerah Best of the Best dimenangi Prof Dr Wan Azlee Abu Bakar menerusi Production of Euro IV DesCat Technology iaitu sejenis alat yang menawarkan banyak kelebihan seperti boleh mengitar semula bahan bakar diesel secara kos efektif dan memenuhi keperluan persekitaran hijau.

Alat itu boleh mencapai standard hingga Euro IV untuk kenderaan komersial di negara ini yang menggunakan diesel.

Kejayaan Dr Wan Azlee itu menjadikan UTM penerima anugerah Best of the Best sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun.

Anugerah The Best Award dimenangi Dr Faizah Abd Ghani dari Fakulti Pendidikan menerusi produknya, NAFS Discovery System: Discover Your True Self.

Best Biotechnology Award dimenangi Profesor Dr Sheikh Hussein Sheikh Salleh dari Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan menerusi produk Smart ABR System.

Pada MTE 2012, UTM menghantar 48 produk inovasi dan penyelidikan bagi menyertai 24 kategori yang disediakan.

No comments:

Post a Comment