Pages

Translate

Thursday, June 7, 2012

Pelajar dekati masyarakat

DALAM memperkasakan pelajarnya menguasai hubungan dengan komuniti setempat, Kolej PTPL cawangan Sungai Petani menganjurkan program gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran Masjid Muhibuddin, Sungai Pasir, Kedah, baru-baru ini.
Program membabitkan 20 pelajar kolej itu adalah acara bulanan dengan menyasarkan pusat hentian penduduk setempat mengikut keutamaan.

Pengarah program, Hasbullah Azizan berkata, setiap pelajar perlu didedahkan dengan aktiviti sebegitu bagi membentuk pelapis kepemimpinan negara pada masa depan.

“Bermula dengan program kemasyarakatan sebegini, kami berharap mempunyai semangat kekitaan bagi mendisiplinkan setiap peserta mengenai hubungan dengan masyarakat luar.


“Ia juga menghindarkan kami daripada terkurung dalam dunia akademik semata-mata kerana program ini dilihat mampu memberi impak positif terhadap pemikiran pelajar apabila berada dalam kelompok berbilang komuniti,” katanya.

Program ini juga diharap dapat memotivasikan pelajar terbabit untuk menjadi insan berguna dan dihormati serta pandai bergaul dengan masyarakat.

Ia turut memberi pendedahan berkenaan adab dan disiplin ketika berada dalam sesuatu komuniti untuk dipraktikkan dalam urusan sebagai pelajar.

“Malah mereka boleh mengaplikasikan asas kebersihan di penempatan masing-masing untuk memberi suasana kondusif.

“Kebersihan antara faktor menyumbang kepada proses pembelajaran yang baik.
Justeru, usaha ini turut menanam sikap pentingkan keselesaan demi pembelajaran,” katanya.

Seorang pelajar bukan Islam berketurunan Siam, Surapishang Kiew Wang berkata, dia tidak janggal menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran masjid berkenaan.

“Setiap agama mementingkan kebersihan. Saya suka melakukannya kerana mengajar menjaga adab sopan ketika berada di mana-mana penempatan sesuatu komuniti.

“Paling penting, program ini juga berupaya membentuk tahap disiplin saya ketika bergaul dengan rakan berlainan bangsa dan agama,” katanya.

No comments:

Post a Comment